IPOH 17 Ogos 2026 (The Capital Post) – Istiadat Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) 2026 Zon Semenanjung Sidang 4 diteruskan dengan penyampaian skrol kepada 384 graduan dalam satu majlis di ILKKM Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta, Perak.
Istiadat tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan Malaysia, YBrs. Dr. Ismuni Bohari, yang turut menyampaikan amanat kepada para graduan mengenai kepentingan kerjasama antara pelbagai profesion dalam sistem kesihatan negara.
Dalam amanatnya, beliau menjelaskan bahawa penyampaian perkhidmatan kesihatan tidak bergantung kepada satu bidang atau profesion semata-mata, sebaliknya memerlukan jaringan tenaga kesihatan dengan kepakaran berbeza yang saling melengkapi.
Beliau turut menyeru para graduan supaya menjadikan kepelbagaian bidang dan kepakaran sebagai kekuatan dengan mengutamakan semangat kerja berpasukan serta bergerak menuju matlamat yang sama, khususnya dalam memastikan kepentingan dan keselamatan pesakit sentiasa menjadi keutamaan.
-Advertisement-
Graduan juga diingatkan agar terus memperkukuh kerjasama merentas bidang serta menggunakan ilmu dan kepakaran yang diperoleh untuk memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada masyarakat.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh graduan dan berharap mereka dapat menjalankan amanah dengan penuh dedikasi serta terus menyumbang kepada peningkatan tahap kesihatan rakyat Malaysia.
Turut hadir Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga (BPKK) KKM, YBhg. Dato’ Dr. Norsiah binti Ali dan Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, YBrs. Dr. Kasuadi bin Hussin. – The Capital Post