SK Taman Bukit Maluri Terima RM175,000 Perkasa Pendidikan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 17 Ogos 2026 (The Capital Post) – Karnival Pendidikan Madani PPD Sentul 2026 bertemakan “Sehari Bersama Rakyat” berlangsung meriah di HGH Sentul, dengan SK Taman Bukit Maluri menerima peruntukan keseluruhan RM175,000 bagi memperkukuh pembangunan murid, profesionalisme guru serta prasarana sekolah.

Majlis penyerahan cek cura kepada sekolah terpilih itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batu, YB P. Prabakaran, kepada Penolong Kanan Kokurikulum SK Taman Bukit Maluri, Encik Ahmad Shahnizam bin Shazali, yang mewakili Guru Besar, Puan Safiah binti Mohamad Wardi. Turut menyaksikan penyerahan berkenaan ialah Pegawai Pendidikan Daerah Sentul, Tuan Haji Azman bin Ab Kadir.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM100,000 diperuntukkan di bawah Pelaksanaan Prakarsa Peningkatan Mutu Sekolah, Reformasi Sekolah. Peruntukan berkenaan akan dimanfaatkan bagi melaksanakan program kemenjadian murid, meningkatkan profesionalisme guru serta menjalankan penyelenggaraan kecil di sekolah.

Selain itu, SK Taman Bukit Maluri turut menerima RM50,000 bagi kerja penyelenggaraan pendawaian elektrik dan menaik taraf bilik guru. Kemudahan tersebut diharap dapat menyediakan ruang kerja yang lebih selesa, tersusun dan kondusif kepada warga pendidik.

-Advertisement-

Sebanyak RM25,000 lagi diperuntukkan bagi kerja ubah suai dan naik taraf bilik darjah, khususnya sebagai persediaan menerima kemasukan murid Tahun 1 berusia enam tahun. Penambahbaikan ini dijangka membantu menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, selesa dan mesra kanak-kanak.

Peruntukan yang diterima menjadi amanah kepada pihak sekolah untuk dimanfaatkan secara optimum bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang memberi manfaat kepada murid, guru serta keseluruhan warga sekolah.

Sokongan tersebut turut mencerminkan usaha berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) dan PPD Sentul dalam memperkukuh ekosistem pendidikan yang berkualiti, kondusif dan berimpak tinggi. – The Capital Post