Hospital Baharu Ranau Bakal Perkukuh Perkhidmatan Kesihatan Sabah

Estimate Reading Time: < 1 minute

RANAU 17 Ogos 2026 (The Capital Post) – Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad meneruskan siri lawatan kerja di Sabah dengan meninjau tapak cadangan pembinaan Hospital Baharu Ranau sebelum mengadakan lawatan rasmi ke Hospital Ranau.

Hospital Ranau yang telah beroperasi lebih lima dekad kini menjadi antara kemudahan kesihatan penting dalam menyediakan perkhidmatan kepada kira-kira 89,100 penduduk tempatan serta pelancong yang berkunjung ke daerah berkenaan.

Fasiliti sedia ada menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk rawatan kecemasan selama 24 jam, perkhidmatan pesakit luar dan pesakit dalam, dewan bedah serta klinik kepakaran tertentu seperti Thalassemia dan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Seiring peningkatan keperluan perkhidmatan dan cabaran berkaitan usia kemudahan sedia ada, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merancang pembinaan Hospital Baharu Ranau menerusi Pelan Induk Fasiliti Kesihatan 2023–2045.

Projek tersebut dijangka meningkatkan kapasiti dan keupayaan perkhidmatan kesihatan di daerah berkenaan dengan perancangan menaik taraf fasiliti kepada Hospital Pakar Minor. Langkah itu juga berpotensi memperluas perkhidmatan kepakaran serta mengurangkan keperluan pesakit mendapatkan rawatan melalui rujukan ke hospital major.

-Advertisement-

Perancangan pembinaan hospital baharu berkenaan mencerminkan usaha KKM untuk memperkukuh akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti, khususnya bagi masyarakat di kawasan pedalaman Sabah.

Usaha tersebut turut menjadi sebahagian daripada komitmen kementerian dalam memastikan pembangunan infrastruktur kesihatan dilaksanakan secara lebih seimbang supaya rakyat di kawasan luar bandar turut menikmati kemudahan serta perkhidmatan kesihatan yang sewajarnya.

Turut hadir Ketua Setiausaha KKM, YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam; Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, YBhg. Datuk Dr. William Gotulis; serta Pengarah Hospital Ranau, YBrs. Dr. Noraishah Md. Hanip. – The Capital Post