KOTA KINABALU 18 Ogos 2026 (The Capital Post) – Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mengadakan lawatan kerja ke Klinik Kesihatan (KK) Likas sebagai sebahagian daripada siri lawatan beliau ke Sabah bagi meninjau keadaan serta keperluan fasiliti kesihatan negeri itu.
Lawatan berkenaan berlangsung selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sabah berkaitan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain tinjauan ke Hospital Tambunan, Hospital Ranau dan Hospital Kota Belud yang dilaksanakan sehari sebelumnya.
KK Likas yang mula beroperasi pada 1970 kini menjadi antara kemudahan penting dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer kepada lebih 53,000 penduduk di kawasan Likas dan Inanam.
Bagaimanapun, usia fasiliti yang melebihi lima dekad menyebabkan klinik berkenaan berdepan beberapa keperluan pembaikan, termasuk keadaan fizikal bangunan serta masalah berkaitan sistem elektrik.
Sehubungan itu, kelulusan peruntukan segera telah diberikan bagi melaksanakan kerja-kerja naik taraf utama di klinik berkenaan. Skop penambahbaikan merangkumi pembaikan bumbung dan siling, peningkatan sistem pendawaian elektrik serta perolehan aset perubatan baharu.
-Advertisement-
Kemudahan kipas bersaiz besar turut akan dipasang di ruang menunggu bagi meningkatkan keselesaan pesakit, khususnya ketika mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
Usaha tersebut mencerminkan komitmen Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memastikan fasiliti penjagaan kesihatan primer terus diperkasa dan mampu memenuhi keperluan masyarakat seiring pertambahan populasi di kawasan bandar dan pinggir bandar.
Turut hadir ialah Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, YBhg. Datuk Dr. William Gotulis dan SUB Bahagian Pembangunan KKM, YBhg. Datin Paduka Roslinah Md Jani. – The Capital Post