PASIR PUTEH 18 Ogos 2026 (The Capital Post) – Projek pembinaan bangunan tambahan Kolej Matrikulasi Kelantan di Pasir Puteh bernilai RM147.96 juta telah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memperkukuh kapasiti serta kemudahan pendidikan pelajar di Pantai Timur.
Majlis penyerahan projek tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Ahmad bin Maslan. Projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia itu dibangunkan di atas kawasan seluas 80.49 ekar dan bermula pada 1 September 2022 sebelum siap sepenuhnya pada 9 Ogos 2026 dengan pengeluaran Sijil Perakuan Kerja (CPC).
Dibiayai menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) Rolling Plan 3, projek berkenaan bertujuan menambah kapasiti institusi bagi menerima sehingga 1,000 pelajar baharu, berbanding kapasiti asal seramai 2,000 pelajar.
Pelaksanaan projek diselia Pasukan Projek Khas 1 (PPK 1) JKR menerusi kaedah Reka dan Bina dengan penglibatan Cakna Enterprise Sdn. Bhd. sebagai kontraktor. Teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) dengan skor melebihi 70 peratus serta Building Information Modelling (BIM) turut digunakan bagi meningkatkan kecekapan pembinaan dan kawalan kualiti.
Kemudahan yang disediakan merangkumi bangunan akademik dan pentadbiran, penginapan pelajar serta pensyarah, kediaman pegawai, Pusat Sehenti Pelajar, kafeteria, dewan serbaguna, Dataran Ilmu dan pelbagai kemudahan sokongan.
-Advertisement-
Projek tersebut turut dilengkapi kemudahan sukan termasuk trek olahraga lapan lorong bertaraf World Athletics Class 2, padang hoki FIH Class 2, padang bola sepak dan ragbi serta gelanggang pelbagai guna.
Antara pencapaian projek ialah penyempurnaan konsep “Tiga dalam Satu” yang merangkumi Sijil Perakuan Siap Kerja, Lukisan Siap Bina dan Penyata Akaun Muktamad (SOFA). Projek itu turut merekodkan penarafan SHASSIC empat bintang, sifar kemalangan Lost Time Injury (LTI), sifar kecacatan utama serta Zero VO tanpa pertambahan kos.
Selain itu, penyediaan Manual Operasi dan Penyelenggaraan (O&M) serta Coffee Table Book turut menjadi sebahagian daripada penambahbaikan nilai projek berkenaan.
Penyerahan projek ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam menyediakan infrastruktur pendidikan awam yang lebih moden, selamat dan berkualiti, sekali gus menyokong keperluan pendidikan generasi akan datang. – The Capital Post