JOHOR BAHRU 19 Ogos 2026 (The Capital Post) – Seramai 2,191 warga Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKN Johor) menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 yang berlangsung di Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru.
Majlis penyampaian anugerah tersebut disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, sebagai penghargaan terhadap pencapaian serta sumbangan warga JKN Johor dalam memastikan perkhidmatan kesihatan berkualiti terus diberikan kepada rakyat.
Dalam amanatnya, YBhg. Datuk Seri KSU mengingatkan warga KKM supaya terus mengamalkan budaya kerja berteraskan nilai Penyayang, Profesionalisme dan Kerja Berpasukan, selaras dengan semangat “Kami Sedia Membantu” dalam melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat.
-Advertisement-
Beliau turut menyeru penerima APC supaya menjadi contoh kepada warga kerja lain serta berperanan sebagai pemangkin perubahan dalam organisasi. Perkongsian ilmu, bimbingan kepada rakan sekerja dan penerapan budaya kerja cemerlang secara konsisten perlu diteruskan bagi memastikan aspek kesihatan serta kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Johor, YBrs. Dr. Hj. Mohtar bin Pungut @ Hj. Ahmad, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pengurusan) JKN Johor, YBrs. Encik Muhabir bin Ibrahim serta barisan pengurusan kanan JKN Johor. – The Capital Post