PUTRAJAYA 21 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meneruskan penganjuran Sesi Sembang Santai Bil. 15 sebagai platform perkongsian ilmu dan interaksi dalam kalangan warga kementerian yang berlangsung di Atrium Peterana, hari ini.
Sesi tersebut turut disertai Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), YBrs. Tuan Ooli Gunalan serta warga MOSTI yang berkesempatan hadir bagi memeriahkan program sambil mengikuti perkongsian berkaitan perkembangan dan pelaksanaan bandar pintar.
Program dimulakan dengan aktiviti senaman X-Break menerusi Radio Taiso sebagai usaha menggalakkan amalan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan warga kementerian.
Sesi perkongsian utama pula disampaikan oleh YBrs. Ts. Anusha Mgendram, wakil Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), menerusi topik “Translating National Ambition on Smart City into Coordinated City-Level Execution”.
-Advertisement-
Perkongsian tersebut memberi ruang kepada warga MOSTI untuk mendapatkan perspektif baharu mengenai usaha menterjemahkan aspirasi nasional berkaitan bandar pintar kepada pelaksanaan yang lebih tersusun di peringkat bandar.
Penganjuran sesi sebegini turut menjadi medium untuk memperkaya pengetahuan warga kementerian, di samping menggalakkan perkongsian idea serta pemikiran yang dapat menyokong usaha pembangunan teknologi dan inovasi negara.
MOSTI berharap perkongsian yang diketengahkan dapat mencetuskan idea baharu dan memberikan perspektif yang bermanfaat kepada warga kementerian dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing. – The Capital Post