TV AlHijrah Tampil Tujuh Program Khas Maulidur Rasul dan Merdeka

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR 22 Ogos 2026 (The Capital Post) – TV AlHijrah memperkenalkan rangkaian tujuh program khas sepanjang Ogos hingga September 2026 bersempena sambutan Maulidur Rasul, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan mengetengahkan mesej kecintaan terhadap Rasulullah SAW, perpaduan, keharmonian serta semangat patriotisme.

Kempen Maulidur Rasul bertemakan “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati” akan berlangsung dari 21 hingga 28 Ogos 2026, manakala Kempen Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” dijadualkan dari 29 Ogos hingga 16 September 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, berkata kedua-dua kempen berkenaan dirangka sebagai kesinambungan nilai yang menghubungkan penghayatan terhadap sunnah dan akhlak Rasulullah SAW dengan amalan kehidupan bermasyarakat serta pembinaan negara.

Antara pengisian utama ialah Kapsul Jejak Cinta Rasul yang mengetengahkan amalan sunnah secara santai dan praktikal dalam konteks kehidupan moden. Program yang menampilkan bakat dalaman TV AlHijrah itu bersiaran setiap hari pada jam 7.25 malam bermula 10 Ogos 2026.

Kemuncak pengisian Maulidur Rasul pula akan diserikan menerusi NUR26 Hijrah Malam Cinta Rasul pada 25 Ogos, jam 9 malam. Program hasil kerjasama TV AlHijrah dan Istana Budaya itu menggabungkan tausiyah, selawat serta persembahan nasyid dengan penampilan barisan pendakwah dan kumpulan nasyid tempatan.

Selain itu, Quran@114 Khas Maulidur Rasul dan Quran@114 Khas Hari Kebangsaan masing-masing akan disiarkan pada 25 dan 31 Ogos dengan memberi fokus kepada tadabbur ayat al-Quran berkaitan akhlak, sirah serta peranan Rasulullah SAW sebagai rahmatan lil ‘alamin.

Bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, TV AlHijrah turut menampilkan Podcast 3 Dalam 1 yang menggabungkan Ustaz Don, Dato’ Profesor Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah dan Adam Corrie. Program berkonsepkan bual bicara itu membawa mesej berkaitan Islam, perpaduan dan kecintaan kepada Malaysia menerusi pendekatan dakwah yang inklusif.

Sementara itu, Kapsul Ulama Kemerdekaan pula mengangkat sejarah perjuangan golongan ulama yang memainkan peranan dalam perjuangan kemerdekaan dan pembentukan negara. Program kendalian Ustaz Rozi Harun itu akan bersiaran mulai 7 September 2026.

-Advertisement-

Semangat keagamaan dan patriotisme turut diketengahkan menerusi Hijrah Berselawat Uniform yang menghimpunkan wakil pelbagai badan beruniform negara untuk berselawat dan berqasidah dalam pakaian seragam masing-masing.

Program tersebut menampilkan Inteam bersama wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Tentera Darat Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Kor Agama Angkatan Tentera. Ia akan disiarkan pada 30 Ogos, jam 9 malam.

Rangkaian pengisian berkenaan turut dilengkapi Kapsul Sebarkan Salam Perpaduan yang mengetengahkan konsep taayush atau keharmonian kehidupan bermasyarakat melalui interaksi antara masyarakat Muslim dan bukan Muslim.

Program yang menampilkan Fahmi Zainal, Ady Huzaidi dan Daod Nurdin itu akan bersiaran setiap hari pada jam 6.55 petang bermula 24 Ogos 2026.

Menurut Namanzee, keseluruhan pengisian tersebut mencerminkan peranan TV AlHijrah sebagai stesen penyiaran Islam dalam menyampaikan ilmu, memperkukuh nilai murni serta menyatukan masyarakat melalui pendekatan dakwah yang bersifat inklusif.

Beliau turut menegaskan bahawa semangat cintakan negara perlu diterjemahkan melalui sikap saling menghormati, menghargai kepelbagaian dan bersama-sama memelihara keamanan serta kesejahteraan Malaysia.

Kesemua program khas berkenaan boleh disaksikan menerusi saluran TV AlHijrah dan platform digital rasmi stesen berkenaan sepanjang tempoh kempen. – The Capital Post