KUALA SELANGOR, 2 September 2026 (The Capital Post) – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika memegang tiang lampu di sebuah gelanggang futsal di Taman Pancaran, Bestari Jaya, pada malam 31 Ogos lalu.
Mangsa, Muhammad Anas Norramin, dilaporkan sedang berehat selepas bermain futsal sebelum memegang tiang lampu yang disyaki mengalami kebocoran arus elektrik. Mangsa kemudian rebah di lokasi kejadian.
Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor menerima makluman mengenai kejadian menerusi panggilan MERS 999 daripada MECC Kuala Lumpur kira-kira jam 10.32 malam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendent Azaharudin Tajudin berkata, pemeriksaan awal terhadap tubuh mangsa tidak menemukan sebarang unsur jenayah.
-Advertisement-
Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir di lokasi mengesahkan kematian mangsa, manakala bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat renjatan elektrik.
Kes tersebut diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) dan dikendalikan Pegawai Penyiasat, Sub Inspektor Zulkefly Mat Piah.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan di IPD Kuala Selangor atau mana-mana balai polis berhampiran. – The Capital Post