UPSI Raih Emas Sulung Ragbi 7s Lelaki SUKIPT 2026

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 2 September 2026 (The Capital Post) – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta kejutan apabila bangkit daripada ketinggalan 0-12 untuk menewaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 17-12 dalam final ragbi 7s lelaki Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 di Universiti Malaya, semalam.

Kemenangan itu menyaksikan UPSI dinobatkan sebagai juara baharu sekali gus meraih pingat emas sulung dalam acara ragbi 7s lelaki di pentas SUKIPT, manakala UKM membawa pulang perak.

Perlawanan akhir tersebut turut disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim yang kemudian menyampaikan pingat kepada para pemenang.

Aminuddin, yang juga merupakan bekas pemain ragbi, menyaksikan kebangkitan UPSI pada separuh masa kedua apabila pasukan berkenaan mengumpul 17 mata untuk membalikkan kedudukan.

-Advertisement-

Bagi penentuan tempat ketiga lelaki, Universiti Putra Malaysia (UPM) meraih gangsa selepas menewaskan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Dalam kategori wanita pula, UiTM muncul juara selepas mengatasi Politeknik Malaysia 14-5, manakala UPSI meraih gangsa.

SUKIPT 2026 yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September menghimpunkan 64 kontinjen dengan penyertaan 8,244 atlet daripada IPT awam dan swasta, politeknik serta kolej komuniti.

Sebanyak 30 acara sukan dipertandingkan dengan 251 pingat emas menjadi rebutan. Selain medan persaingan mahasiswa, temasya berkenaan turut menjadi platform KPT mengenal pasti bakat sukan berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi termasuk mewakili negara. -The Capital Post