Rumah Tiga Tingkat Terbakar, Penghuni Selamat

Estimate Reading Time: < 1 minute

BAYAN LEPAS, 3 September 2026 (The Capital Post) – Seorang lelaki berusia 52 tahun terselamat selepas kediaman tiga tingkat miliknya terbakar dalam kejadian di Jalan Pintasan Kelicap, berhadapan Kompleks MBPP,  semalam.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang menerima panggilan kecemasan pada kira-kira jam 10.03 pagi sebelum lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Perak Lane digerakkan ke lokasi.

Kebakaran melibatkan kediaman berkeluasan 120 x 50 kaki persegi dan turut memusnahkan sebahagian perkakasan sembahyang. Pemeriksaan mendapati kira-kira 30 peratus bahagian tingkat dua rosak, manakala tingkat tiga mengalami kerosakan sekitar 40 peratus.

Tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke bahagian lain. Penghuni disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

-Advertisement-

Operasi turut melibatkan kerja-kerja overhaul bagi memastikan tiada bara api yang masih menyala sebelum ditamatkan pada jam 12.44 tengah hari.

Sementara itu, siasatan berhubung punca kebakaran dan jumlah kerugian diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) JBPM Pulau Pinang untuk tindakan lanjut. – The Capital Post