Seni Perkukuh Pendidikan, Bentuk Karakter Generasi Muda

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 3 September 2026 (The Capital Post) – Seni perlu diberikan ruang dalam pendidikan kerana bukan sahaja memperkayakan pengalaman pembelajaran, malah membantu membentuk empati, pemahaman terhadap kehidupan dan karakter dalam kalangan generasi muda.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata perkara itu menjadi antara topik yang dibincangkan ketika menerima kunjungan Datin Hajah Marlia Musa bersama pasukannya yang berkongsi mengenai Teater Musikal Mansur & Liu, arahan Dato’ Dr. M. Nasir, yang bakal dipentaskan di Istana Budaya.

Menurut Fadhlina, perbincangan bersama Marlia yang turut mempunyai latar belakang sebagai pendidik bukan sekadar berkisar mengenai pementasan teater, sebaliknya turut menyentuh pengalaman mendidik, cabaran membentuk generasi masa kini serta potensi seni sebagai medium pembangunan karakter murid.

Beliau berkata pendidikan tidak seharusnya diukur berdasarkan pengetahuan yang diperoleh melalui buku teks semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira nilai, emosi dan penghargaan terhadap kehidupan yang dibentuk dalam diri seseorang murid.

-Advertisement-

Dalam perkembangan sama, Fadhlina turut mengajak warga Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur untuk menyaksikan pementasan Mansur & Liu sebagai satu peluang menikmati serta mendapatkan inspirasi daripada karya seni.

Beliau turut menyifatkan pengalaman menikmati seni dari sudut penonton sebagai ruang kepada pelajar untuk melihat dan menghargai karya daripada perspektif berbeza, khususnya selepas sekian lama menghasilkan karya untuk dinikmati oleh orang lain. – The Capital Post