MARANG, 3 September 2026 (The Capital Post) – Penyu belimbing (Leatherback Turtle), antara spesies penyu terbesar dunia yang semakin terancam, dipercayai kembali mendarat di pesisir Pantai Marang, Terengganu pada 1 September lalu selepas kali terakhir dikesan di kawasan berkenaan pada 2017.
Kehadiran spesies berkenaan dikenal pasti menerusi jejak merangkak berukuran kira-kira 2.1 meter lebar serta penemuan sarang yang mengandungi telur penyu, hasil pemerhatian kakitangan Pejabat Perikanan Negeri Terengganu.
Sebanyak 44 biji telur berjaya dipindahkan ke Pusat Penetasan Penyu (Hatchery) Rantau Abang untuk tujuan pemeliharaan dan pemantauan. Telur berkenaan dijangka menetas dalam tempoh antara tujuh hingga sembilan minggu.
Penemuan itu dilihat sebagai perkembangan positif terhadap usaha pemuliharaan penyu belimbing serta menunjukkan pesisir pantai Terengganu masih berpotensi menjadi kawasan pendaratan bagi spesies berkenaan.
-Advertisement-
Dalam pada itu, pemeliharaan kebersihan pantai dan ekosistem marin amat penting bagi memastikan habitat semula jadi penyu terus terpelihara serta menyokong kelangsungan spesies yang semakin jarang ditemui.
Orang ramai turut diseru bersama-sama menjaga kebersihan pantai dan tidak mengganggu kawasan pendaratan atau sarang penyu bagi menyokong usaha pemuliharaan hidupan marin negara. – The Capital Post