PUTRAJAYA, 4 September 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) terus memperkukuh hubungan dua hala dalam sektor pelancongan antara Malaysia dan Moscow menerusi kunjungan hormat Moscow City Tourism Committee pada 3 September 2026.
Kunjungan tersebut menjadi platform bagi kedua-dua pihak meneroka potensi kerjasama strategik, selain memperluas jaringan antarabangsa dalam pembangunan dan promosi industri pelancongan.
Pertemuan itu dipengerusikan Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri MOTAC, YBrs. Dr. Norwan bin Ahmad, yang mencerminkan komitmen kementerian dalam memperkukuh hubungan kerjasama antarabangsa serta membuka ruang kepada perkongsian idea, pengalaman dan kepakaran dalam sektor pelancongan.
Antara perkara yang menjadi fokus termasuk usaha mempererat hubungan pelancongan Malaysia-Moscow, meneroka peluang promosi destinasi pelancongan, berkongsi amalan terbaik dalam pembangunan industri serta mewujudkan jaringan dan kolaborasi baharu yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
-Advertisement-
Kerjasama sedemikian dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan hubungan lebih erat, di samping membuka peluang baharu dalam landskap pelancongan antarabangsa.
Usaha memperluas jaringan antara Malaysia dan Moscow turut mencerminkan aspirasi untuk meningkatkan kerjasama industri serta menawarkan lebih banyak pengalaman pelancongan kepada pelancong dari kedua-dua negara. – The Capital Post