APM Perkukuh Peranan Akademia Dalam Pendidikan Tinggi

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA, 4 September 2026 (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim menerima kunjungan hormat delegasi Akademi Profesor Malaysia (APM) yang diketuai Ahli Majlis merangkap Pengerusi Konvensyen Akademia 2026, YBrs. Profesor Dr. Nordin bin Yahaya di KPT semalam.

Pertemuan tersebut menjadi platform pengenalan APM serta perkongsian mengenai peranan, fokus dan sumbangan akademi dalam memperkukuh landskap pendidikan tinggi negara.

Dalam sesi berkenaan, APM turut membentangkan Program Konvensyen Akademia 2026 (AK26) yang dirangka sebagai wadah libat urus dan pemikiran strategik dalam kalangan akademia bagi menghadapi perkembangan kecerdasan buatan (AI) serta transformasi digital.

AK26 turut memberi tumpuan kepada usaha menghimpunkan kepakaran akademia daripada pelbagai disiplin dan sektor untuk membincangkan isu, cabaran serta peluang yang muncul susulan perubahan landskap pendidikan dan teknologi.

-Advertisement-

Selain itu, pertemuan berkenaan turut membincangkan cadangan kerjasama strategik antara APM dan KPT, khususnya melalui penglibatan serta sumbangan kepakaran profesor dalam bidang yang berkepentingan kepada pendidikan tinggi.

Kerjasama tersebut diharap dapat memperluas ruang pemanfaatan kepakaran akademia dalam menyokong perancangan, pemikiran strategik serta pembangunan pendidikan tinggi negara secara lebih berkesan.

Usaha memperkukuh hubungan antara KPT dan APM juga dilihat penting bagi memastikan kepakaran akademia terus dimanfaatkan dalam menghadapi cabaran serta perubahan landskap pendidikan tinggi pada era digital dan kecerdasan buatan. – The Capital Post