KOTA TINGGI 4 September 2026 (The Capital Post) – Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) di Pantai Tanjung Lompat, Desaru diteruskan selepas seorang lagi mangsa ditemukan meninggal dunia pada petang semalam, manakala dua lagi mangsa masih belum ditemui.
Operasi yang diselaraskan oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru dan dikoordinasikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) itu bermula pada jam 7.00 pagi dengan kawasan pencarian diperluaskan sehingga meliputi kira-kira 7.0 batu nautika persegi.
Menurut Pemangku Pengarah Maritim Zon Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib bin Sam, mangsa ditemukan sekitar jam 1.53 petang oleh sebuah bot rekreasi yang turut membantu operasi pencarian. Mangsa ditemui kira-kira 900 meter dari lokasi kejadian dan disahkan telah meninggal dunia.
Mangsa dikenal pasti sebagai Muhamad Thaqif Rayyan bin Rumainoor selepas proses pengecaman dilakukan oleh waris. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan selanjutnya.
Operasi pencarian turut melibatkan pelbagai agensi dan komuniti setempat dengan penggunaan bot PETIR 50 milik Maritim Malaysia, bot KCB 24 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), bot PAC253 Polis Diraja Malaysia (PDRM), bot PAR 6 Pasukan Polis Marin (PPM) serta bot Angkatan Pertahanan Awam (APM).
-Advertisement-
Selain itu, lima bot nelayan dan rekreasi daripada komuniti setempat turut digerakkan bagi membantu usaha mengesan mangsa yang masih hilang.
Maritim Malaysia memaklumkan operasi akan terus dilaksanakan dengan kawasan pencarian diperluaskan mengikut keadaan cuaca, keadaan laut serta perkembangan terkini di lapangan.
Usaha mencari dua lagi mangsa yang masih hilang akan diteruskan secara berterusan dengan kerjasama semua agensi terlibat sehingga kesemua mangsa berjaya ditemukan. – The Capital Post