Alibaba Sokong AI untuk Rakyat, Perkasa Kemahiran AI Belia

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR 5 September 2026 (The Capital Post) – Alibaba menyokong inisiatif kerajaan AI untuk Rakyat dengan menyediakan akses kepada dua aplikasi kecerdasan buatan (AI), iaitu MuleRun dan WonderClip, sebagai sebahagian daripada rangkaian awal teknologi yang ditawarkan menerusi program berkenaan.

Inisiatif di bawah Kementerian Digital yang dilaksanakan oleh MyDIGITAL Corporation melalui platform Rakyat Digital itu menyasarkan manfaat kepada 100,000 belia Malaysia berusia antara 18 hingga 30 tahun.

Peserta yang berjaya melengkapkan serta lulus modul pembelajaran yang ditetapkan berpeluang menebus akses percuma selama tiga bulan kepada aplikasi AI terpilih yang ditawarkan melalui program tersebut.

Pengurus Besar Alibaba Cloud Intelligence Malaysia, Choong Hon Keat, berkata penyertaan MuleRun dan WonderClip dalam AI untuk Rakyat mencerminkan usaha penting kerajaan untuk memperluas akses kepada teknologi AI serta memberi peluang kepada golongan muda membangunkan kemahiran praktikal dalam penggunaannya.

Menurut beliau, teknologi AI berpotensi menjadi pemangkin kepada peluang yang lebih inklusif dengan membolehkan golongan muda daripada pelbagai latar belakang menghasilkan idea, berinovasi dan mengambil bahagian dengan lebih bermakna dalam ekonomi digital.

WonderClip merupakan platform penciptaan video berasaskan AI yang dibangunkan Alibaba Cloud bagi menyokong keseluruhan proses penghasilan video, termasuk analisis skrip, pembinaan papan cerita, penjanaan video serta pascaproduksi. Teknologi tersebut direka untuk meningkatkan kecekapan penghasilan kandungan kreatif seperti video pemasaran dan animasi pendek.

-Advertisement-

Sementara itu, MuleRun ialah platform ejen AI dan automasi aliran kerja yang membolehkan pengguna membangunkan serta mengurus ejen pintar menggunakan arahan dalam bahasa semula jadi. Platform itu mampu mengautomasikan pelbagai tugasan seperti pemprosesan data, penyelidikan, penjanaan kandungan dan sokongan membuat keputusan tanpa memerlukan kemahiran teknikal yang tinggi.

Penglibatan Alibaba dalam AI untuk Rakyat turut meneruskan komitmen jangka panjang syarikat berkenaan terhadap pembangunan ekosistem digital Malaysia. Alibaba Cloud telah memperluas infrastruktur tempatan, program pembangunan bakat serta kerjasama industri sejak menubuhkan pusat data pertamanya di Malaysia lebih sedekad lalu.

Usaha berkenaan selari dengan aspirasi untuk memperkukuh keupayaan AI tempatan, meningkatkan akses kepada teknologi baharu serta melahirkan lebih ramai bakat teknologi Malaysia yang mampu menyumbang kepada transformasi digital negara.

Alibaba turut menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh keupayaan tempatan dan menyokong pembangunan bakat teknologi dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab serantau bagi inovasi AI dan digital.

Maklumat lanjut mengenai AI untuk Rakyat dan Rakyat Digital boleh diperoleh menerusi platform rasmi program tersebut. – The Capital Post