7,770 Graduan POLYCC Zon Selatan Raikan Konvokesyen 2026

Estimate Reading Time: 2 minutes

PORT DICKSON, 6 September 2026 (The Capital Post) – Seramai 7,770 graduan daripada institusi Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) diraikan pada Majlis Konvokesyen POLYCC Zon Selatan 2026 yang berlangsung di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam.

Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Adam Adli Abd Halim, yang menegaskan bahawa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus menjadi antara laluan penting dalam menyediakan rakyat Malaysia dengan kemahiran yang diperlukan bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan masa hadapan.

Beliau berkata, keberkesanan pendidikan TVET turut dapat dilihat melalui kadar kebolehpasaran graduan POLYCC yang mencatatkan prestasi tinggi. Pada 2025, sebanyak 98.5 peratus graduan Politeknik dan 98.8 peratus graduan Kolej Komuniti berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian.

Menurutnya, pencapaian tersebut selari dengan aspirasi Hari TVET Negara 2026 yang membawa slogan “TVET Pilihan Utama Kerjaya” dan subtema “Kemahiran Dijulang, Masa Depan Gemilang”.

Katanya, kerajaan komited untuk menjadikan TVET sebagai laluan utama dalam pembentukan kerjaya rakyat Malaysia, selaras dengan penekanan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadap usaha memperkasa bidang berkenaan di peringkat nasional.

Konvokesyen Zon Selatan 2026 menghimpunkan graduan daripada lapan Politeknik dan 25 Kolej Komuniti yang melibatkan tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

-Advertisement-

Daripada keseluruhan jumlah tersebut, seramai 810 graduan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) menerima penganugerahan Ijazah, Diploma dan Sijil menerusi Majlis Konvokesyen PIS Ke-31 bagi sidang pertama dan kedua.

Majlis turut menyaksikan penyampaian pelbagai anugerah kecemerlangan sebagai penghargaan terhadap pencapaian graduan dalam bidang akademik, kokurikulum, penghasilan projek serta penglibatan bersama industri.

Anugerah Ketua Pengarah POLYCC menjadi antara kemuncak majlis apabila dua graduan cemerlang menerima pengiktirafan berkenaan, iaitu Muhammad Ainulhaq bin Ali Mazat daripada Politeknik Mersing bagi program Diploma Teknologi Maklumat – Teknologi Digital dan Ahmad Irfan bin Md Azwan daripada Kolej Komuniti Selandar bagi program Sijil Landskap.

Penganjuran majlis tersebut mencerminkan peranan berterusan institusi POLYCC dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran serta menyediakan laluan pendidikan yang memenuhi keperluan pembangunan ekonomi dan industri negara. – The Capital Post