BATU PAHAT, 6 September 2026 (The Capital Post) – Seramai 300 sukarelawan berganding bahu menanam 600 anak pokok bakau di Persisiran Pantai Punggor, Renggit, Batu Pahat, sempena Program Maybank Group Global CR Day yang berlangsung semalam.
Bertemakan “Leading the Change in Sustainability”, program anjuran Maybank itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kesukarelawanan Cahaya Kasih (CK) yang memberi tumpuan kepada usaha memelihara alam sekitar, memperkasa komuniti serta meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian.
Program Global CR Day merupakan inisiatif berskala antarabangsa yang menghimpunkan warga Maybank atau “Maybankers” di seluruh dunia untuk melaksanakan aktiviti kemasyarakatan secara serentak sebagai usaha memperkukuh tanggungjawab korporat terhadap alam sekitar dan komuniti.
Majlis perasmian program tersebut disempurnakan Ahli Parlimen Batu Pahat, Yang Berhormat Tuan Haji Onn bin Abu Bakar. Turut hadir sebagai wakil rasmi Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ), Penolong Pegawai Hutan Daerah Johor Tengah, Kluang, Encik Muhamad Rohaizad bin Ramlee.
Dalam memastikan kelangsungan usaha penanaman bakau berkenaan, JPNJ menerusi Pejabat Hutan Daerah Johor Tengah turut menyediakan khidmat kepakaran berkaitan teknik penanaman yang betul serta panduan penjagaan anak pokok selepas ditanam.
-Advertisement-
JPNJ juga menyelia kawasan penanaman yang berada di bawah penjagaan Renj Batu Pahat bagi memastikan usaha pemulihan ekosistem berkenaan dapat dilaksanakan secara berterusan.
Penglibatan 300 sukarelawan dalam inisiatif tersebut mencerminkan komitmen sektor korporat dalam menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar, selain menggalakkan penyertaan masyarakat dalam membentuk persekitaran yang lebih hijau dan lestari.
Usaha penanaman bakau itu diharap dapat memberi manfaat kepada ekosistem pesisir pantai serta menyumbang kepada kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang. – The Capital Post