Seorang Maut, Seorang Cedera Dalam Kemalangan di PLUS

Estimate Reading Time: < 1 minute

BAGAN SERAI, 7 September 2026 (The Capital Post) – Seorang lelaki berusia 24 tahun maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta Hyundai Elantra yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan di Kilometer 196.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), di sini petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada kira-kira jam 3.50 petang.

Susulan laporan tersebut, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai dengan bantuan BBP Kamunting dikejarkan ke lokasi dan tiba kira-kira 22 minit kemudian bagi menjalankan operasi menyelamat.

Menurutnya, ketika pasukan bomba tiba, seorang mangsa lelaki berusia 27 tahun yang mengalami kecederaan telah dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam, manakala seorang lagi mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan masih terperangkap.

-Advertisement-

Pasukan penyelamat kemudiannya menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang terperangkap menggunakan kaedah SAVER sebelum memindahkannya dengan bantuan papan tulang belakang.

Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi mengesahkan mangsa berusia 24 tahun meninggal dunia akibat kemalangan tersebut, manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan lanjut.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan selanjutnya, sementara operasi penyelamatan serta kerja-kerja pembersihan dan kawalan laluan selesai sepenuhnya pada jam 5.23 petang. – The Capital Post