KUALA TERENGGANU, 7 September 2026 (The Capital Post) – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terus memperkukuh kecekapan pengurusan kewangan menerusi penganjuran Bengkel Pembayaran Bil Tujuh Hari Siri 3 Tahun 2026 yang berlangsung selama tiga hari di The Grand Puteri Hotel, Kuala Terengganu.
Bengkel anjuran Cawangan Kewangan, Bahagian Khidmat Pengurusan AADK itu berlangsung dari 1 hingga 3 September 2026 dan disertai 50 pegawai serta kakitangan daripada pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) AADK yang terlibat secara langsung dalam pengurusan pembayaran bil.
Program tersebut turut menampilkan Ahmad Jawad Abd Karim sebagai penceramah utama, dengan dibantu dua fasilitator, Siti Khairiah Mohd Fauzi dan Mar Dewi Yuhana Leonardo, dari Bahagian Akaun, Seksyen Perakaunan dan Pengurusan, Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Penganjuran bengkel berkenaan memberi tumpuan kepada peningkatan pengetahuan dan kefahaman pegawai perolehan serta kewangan mengenai tatacara pengurusan bil tujuh hari, termasuk peranan Peminta Kontrak, Pegawai Padanan, Pelulus Pemenuhan, Peraku 1 dan Peraku 2.
Selain memperkukuh pemahaman terhadap prosedur yang ditetapkan, bengkel itu turut bertujuan memastikan sasaran pembayaran bil dan tuntutan dapat dicapai secara konsisten dalam tempoh tujuh hari seperti yang ditetapkan.
-Advertisement-
Penekanan turut diberikan kepada peranan Ketua PTJ dalam memantau proses pembayaran serta pengurusan tuntutan secara berterusan bagi memastikan pematuhan terhadap standard dan ketetapan yang digariskan oleh pengurusan tertinggi KDN.
Inisiatif tersebut diharap dapat meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan AADK serta memastikan urusan pembayaran bil dan tuntutan dilaksanakan dengan lebih teratur, pantas dan berkesan.
Turut hadir Ketua Penolong Pengarah (Kewangan) AADK, Zarina Ibrahim. – The Capital Post