Motor Maniac 2026 Perkasa Pelancongan Automotif

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 7 September 2026 (The Capital Post) – Budaya automotif, kreativiti belia dan industri hiburan dilihat berpotensi menjadi tarikan baharu dalam memperkaya pengalaman pelancongan domestik menerusi penganjuran Motor Maniac 5th Annual Festival 2026.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, hadir ke festival berkenaan yang berlangsung pada 5 dan 6 September 2026 di Aras 7 (Rooftop), MyTOWN Shopping Centre, Kuala Lumpur.

Dianjurkan oleh Bateriku, Motor Maniac 2026 menghimpunkan komuniti peminat automotif serta mengetengahkan elemen gaya hidup, streetwear, muzik dan budaya belia dalam sebuah acara berteraskan komuniti.

Festival tersebut turut menampilkan pelbagai pameran automotif, aktiviti kreatif, persembahan muzik serta program hiburan yang membuka ruang kepada penglibatan masyarakat dan komuniti tempatan.

Dalam kunjungan itu, Dato’ Shaharuddin turut menyampaikan ucapan sebelum majlis penyampaian plak oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku kepada Ketua Setiausaha MOTAC. Acara kemudiannya diteruskan dengan sesi bergambar dan walk-about di sekitar lokasi festival.

-Advertisement-

Penganjuran Motor Maniac 2026 turut dilihat menyokong perkembangan industri kreatif serta usaha memperkukuh pelancongan domestik berasaskan konsep event tourism, dengan menjadikan acara gaya hidup sebagai salah satu medium untuk menarik pengunjung.

Gabungan budaya automotif, kreativiti dan hiburan bukan sahaja menyediakan ruang interaksi kepada komuniti, malah berpotensi memperkenalkan acara tempatan kepada khalayak yang lebih luas serta menyumbang kepada kepelbagaian produk pelancongan negara.

Motor Maniac 2026 membuktikan bahawa budaya automotif mampu menjadi sebahagian daripada ekosistem pelancongan moden, seiring usaha memperkasa kreativiti belia dan memperluas tarikan pelancongan berasaskan acara di Malaysia. – The Capital Post