PAPAR, 7 September 2026 (The Capital Post) – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah mengambil tindakan tegas terhadap sebuah kenderaan perdagangan selepas mendapati pemandu warga asing yang mengendalikannya tidak memiliki lesen memandu sah serta Lesen Vokasional (GDL) dalam operasi penguatkuasaan pada 4 September lalu.
Operasi berkenaan dijalankan menerusi rondaan bersepadu Ops Patuh, Ops Pewa, Ops Luxury, Ops Kenderaan Perdagangan dan Ops Lebih Muatan oleh JPJ Negeri Sabah melalui Stesen Penguatkuasa Kimanis di laluan utama Pan Borneo.
Dalam pemeriksaan tersebut, sebuah kenderaan perdagangan telah ditahan selepas rondaan penguatkuasaan mendapati pemandunya merupakan warga asing yang tidak mempunyai lesen memandu yang sah serta GDL seperti ditetapkan.
Susulan kesalahan itu, notis saman telah dikeluarkan terhadap pemandu berkenaan, manakala kenderaan tersebut turut disita dan dibawa ke Pejabat Stesen Penguatkuasa Kimanis untuk tindakan lanjut.
-Advertisement-
JPJ Negeri Sabah menegaskan bahawa operasi berkenaan bertujuan memastikan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya, membanteras pemanduan berisiko serta meningkatkan tahap keselamatan semua pengguna jalan raya.
Agensi itu turut memberi peringatan bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan jalan raya dan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan ekosistem pengangkutan darat yang lebih selamat serta teratur.
Orang ramai khususnya pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan diseru supaya sentiasa memastikan semua dokumen, lesen dan syarat operasi dipatuhi sebelum berada di jalan raya. – The Capital Post