KOTA KINABALU, 7 September 2026 (The Capital Post) – Jelajah Aman Borneo 2.0 Tahun 2026 ke Kalimantan Barat menjadi platform strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah dalam memperkukuh hubungan silaturahim, semangat kebersamaan serta kerjasama dalam kalangan warga pasukan.
Majlis pelepasan program berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Datuk Mohd Azhar bin Hamin, di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada 5 September 2026.
Program tersebut turut disertai Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh bin Dikun, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Polis Daerah yang terlibat serta pegawai kanan, pegawai rendah dan pegawai awam PDRM Sabah bersama orang awam.
Jelajah berkenaan bukan sahaja bertujuan mengeratkan hubungan dalam kalangan kepimpinan dan warga PDRM di seluruh Sabah, malah menjadi wadah untuk menyantuni anggota pasukan serta masyarakat setempat secara lebih dekat.
-Advertisement-
Inisiatif itu turut mencerminkan komitmen PDRM Sabah dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepolisan yang berkesan, berintegriti dan berorientasikan komuniti, selaras dengan usaha memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat terus diberi keutamaan.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi PERKEP Kontinjen Sabah, YBhg. Datin Nurhayatie Farhana binti Abdullah, serta barisan Ketua Jabatan dan pegawai kanan PDRM Sabah yang terlibat dalam program tersebut.
Jelajah Aman Borneo 2.0 Tahun 2026 diharap dapat terus memperkukuh jaringan kerjasama, semangat kekitaan dan hubungan erat antara warga pasukan serta komuniti, khususnya dalam mendukung agenda keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. – The Capital Post