JPJ Perketat Tindakan Terhadap Kenderaan Ekstrem

Estimate Reading Time: < 1 minute

WANGSA MAJU, 10 September 2026 (The Capital Post) – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terus mempergiat operasi penguatkuasaan terhadap kenderaan yang diubah suai secara ekstrem serta tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan, susulan aduan awam berkaitan gangguan bunyi, ketenteraman dan keselamatan pengguna jalan raya.

Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, YBhg. Dato’ Aedy Fadly bin Ramli berkata, menerusi Ops Ekstrem yang dijalankan semalam di sekitar Kuala Lumpur, sebanyak 156 kenderaan telah diperiksa, dengan 97 daripadanya dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.

Dalam operasi berkenaan, JPJ turut mengeluarkan sebanyak 485 notis dan menyita 37 buah kereta yang didapati melakukan pelbagai pelanggaran peraturan.

-Advertisement-

Beliau menegaskan jalan raya awam bukan tempat untuk mempamerkan pengubahsuaian kenderaan secara ekstrem, selain memberi peringatan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diteruskan terhadap kenderaan yang melanggar undang-undang serta berpotensi menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Turut hadir ialah Pengarah Kanan Penguatkuasa, YBhg. Dato’ Muhammad Kifli bin Ma Hassan; Pengarah JPJ W.P. Kuala Lumpur, YBrs. Tuan Hamidi bin Adam; Pengarah Operasi, Bahagian Penguatkuasa JPJ, YBrs. Tuan Shahrul Azhar bin Mat Dali; Timbalan Pengarah JPJ W.P. Kuala Lumpur, YBrs. Tuan Mohd Azlan Shah bin Othman serta pegawai-pegawai kanan jabatan. – The Capital Post