MARUDI 10 September 2026 (The Capital Post) – Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Marudi digerakkan bagi membantu operasi di lokasi nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak.
Seramai lima anggota RELA Penugasan Tetap di Stolport Long Lellang telah mula digerakkan sejak 8 September 2026 bagi membantu operasi di kawasan kejadian, manakala lapan lagi anggota turut memberikan bantuan pada hari kedua operasi.
Penglibatan RELA memberi tumpuan kepada aspek kawalan keselamatan dan perimeter di kawasan berkaitan, selain menyediakan sokongan logistik bagi membantu kelancaran tugas agensi-agensi yang terlibat dalam operasi berkenaan.
-Advertisement-
Operasi di lokasi nahas turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 12 menerusi Tiger Platoon, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta agensi-agensi berkaitan.
Penglibatan pelbagai agensi berkenaan mencerminkan kerjasama bersepadu dalam memastikan operasi di lokasi kejadian dapat dilaksanakan dengan teratur dan selamat. – The Capital Post