PELABUHAN KLANG 11 September 2026 (The Capital Post) – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaksanakan Ops Layar bagi membanteras penyalahgunaan dokumen pengenalan diri, termasuk penggunaan kad pengenalan palsu atau milik orang lain.
Operasi bersepadu yang dijalankan pada 9 September lalu di sebuah syarikat perusahaan di Pelabuhan Klang, Selangor itu melibatkan 67 anggota daripada JPN, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor.
Sepanjang operasi, seramai 195 individu diperiksa, termasuk 63 rakyat Malaysia yang disahkan memiliki kad pengenalan yang sah.
Bagaimanapun, tiga wanita berusia antara 21 hingga 37 tahun yang dipercayai merupakan warga Indonesia ditahan kerana disyaki menggunakan salinan kad pengenalan palsu atau salinan dokumen pengenalan milik individu lain bagi mendapatkan pekerjaan.
Kes berkenaan sedang disiasat mengikut Peraturan 25(1)(e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).
-Advertisement-
Jika didapati bersalah, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000, atau kedua-duanya sekali.
Dalam operasi yang sama, enam lagi individu turut ditahan atas kesalahan yang berada di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia.
JPN menegaskan usaha penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi membendung penyalahgunaan dokumen pengenalan diri serta memastikan integriti sistem pendaftaran negara sentiasa dipelihara. – The Capital Post