PUTRAJAYA 11 September 2026 (The Capital Post) – Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang (BSPUU), Jabatan Peguam Negara menganjurkan dua kursus berkaitan pendaftaran dan pembangunan tanah wakaf serta pengharmonian antara undang-undang Syariah dan sivil pada 9 dan 10 September 2026.
Kursus berkenaan berlangsung di Dewan Tan Sri Abdul Kadir Yusuf, Jabatan Peguam Negara dan disertai seramai 60 peserta terdiri daripada Peguam Kanan Persekutuan, Peguam Persekutuan serta Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Peguam Negara.
Turut menyertai program tersebut ialah Penasihat Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pegawai Syariah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) serta Penolong Penasihat Undang-Undang (Syariah) dari negeri-negeri.
Penganjuran kursus bertujuan meningkatkan pengetahuan dan pemahaman peserta berkaitan isu perundangan serta pembangunan tanah wakaf di Malaysia, selain memperkukuh kefahaman mengenai pengharmonian dan penyelarasan antara undang-undang Syariah dan sivil serta hala tuju bidang berkenaan pada masa hadapan.
-Advertisement-
Pada 9 September, sesi berkaitan isu pendaftaran dan pembangunan tanah wakaf menampilkan beberapa penceramah daripada agensi berkaitan, termasuk Pengurus Kanan Bahagian Wakaf dan Sumber Am, MAIWP, Tuan Ir. Abd. Karim bin Mohamed @ Ismail; Pengarah Bahagian Wakaf JAWHAR, Puan Azura Azreen binti Yusof; Ketua Unit Tanah dan Perkhidmatan, Bahagian Penasihat, Jabatan Peguam Negara, Puan Saidah binti Mohamed Halil; serta Pengarah Bahagian Pengurusan Perundangan Tanah, JKPTG, Tuan Jaiya bin Abu.
Sementara itu, sesi pada 10 September yang memberi tumpuan kepada pengharmonian dan penyelarasan undang-undang Syariah dan sivil menampilkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, YA Dato’ Arik Sanusi bin Yeop Johari; Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL), Prof. Dr. Farid Sufian bin Shuaib; Pesuruhjaya Penyemak dan Pembaharuan Undang-Undang, Bahagian Penyemakan dan Pembaharuan Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara, Dato’ Nik Azhan Hakim bin Nik Mahmood; serta Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, YA Dato’ Mohammad Adib bin Husain.
Program tersebut menjadi platform penting dalam memperkukuh perkongsian ilmu serta kefahaman antara pegawai undang-undang dan kehakiman berkaitan isu semasa yang melibatkan undang-undang Syariah, sivil dan pengurusan tanah wakaf di Malaysia – The Capital Post