4,155 Graduan ILKBS Raikan Kejayaan Konvokesyen Ke-21

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 13 September 2026 (The Capital Post) – Seramai 4,155 graduan Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) diraikan dalam Istiadat Konvokesyen ILKBS Ke-21 Tahun 2026 yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC).

Istiadat bagi sesi petang itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), YBhg. Dato’ Rahimi Ismail sebagai tanda penghargaan kepada para graduan yang berjaya menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang kemahiran.

Kesemua graduan berkenaan terdiri daripada peserta yang mengikuti program Diploma, Sijil Lanjutan dan Sijil Kemahiran di institusi latihan di bawah ILKBS.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, YBrs. Puan Chan Hong Jin serta Pengarah Kemahiran, Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, YBrs. Encik Mohd Sukri Ismail.

-Advertisement-

Penganjuran konvokesyen itu bukan sahaja menjadi simbol kejayaan para graduan menamatkan pengajian, malah membuka lembaran baharu untuk mereka melangkah ke alam pekerjaan, keusahawanan dan peluang pembangunan kerjaya.

Pencapaian 4,155 graduan berkenaan turut mencerminkan usaha berterusan KBS dalam menyediakan pendidikan dan latihan kemahiran yang mampu memperkasa belia serta meningkatkan kebolehpasaran mereka selaras dengan keperluan industri.

Konvokesyen ILKBS Ke-21 menjadi titik permulaan kepada lebih banyak peluang buat para graduan untuk mengembangkan potensi, membina kerjaya dan menyumbang kepada pembangunan negara – The Capital Post