PEKAN 13 September 2026 (The Capital Post) – Kampung Nenasi, Mukim Bebar, Pekan, Pahang dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi tahun 2026, manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Nenasi turut dipilih sebagai Sekolah Angkat MADANI JIM dalam usaha memperkukuh kesejahteraan komuniti setempat.
Majlis peluncuran kedua-dua program tersebut telah disempurnakan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail di SK Nenasi, Pekan, semalam.
Pemilihan Kampung Nenasi dan SK Nenasi mendapat kelulusan Kementerian Kewangan, dengan Kolej Komuniti Rompin turut berperanan sebagai rakan strategik dalam aspek Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Program Kampung Angkat MADANI dilaksanakan menerusi pendekatan whole of government yang menggabungkan sumber, kepakaran dan keupayaan pelbagai kementerian serta agensi bagi memenuhi keperluan komuniti setempat.
Antara projek yang dirancang termasuk menaik taraf Masjid Nenasi dan Balai Raya Kampung Nenasi Darat, membaik pulih gelanggang futsal, menambah baik pejabat pentadbiran Badan Khairat Kematian Orang-Orang Islam Mukim Bebar serta menyediakan kemudahan khemah komuniti dan lampu jalan solar.
Kerjasama bersama Kolej Komuniti Rompin turut merangkumi beberapa inisiatif TVET seperti pemasangan dan penyelenggaraan penghawa dingin domestik, kerja pendawaian elektrik serta pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi terpilih.
Komuniti setempat juga bakal mendapat manfaat menerusi program servis motosikal dan kenderaan ringan, selain latihan berkaitan penghasilan makanan, masakan dan perkhidmatan pramusaji yang dilaksanakan bersama institusi pendidikan berkenaan.
-Advertisement-
Dalam aspek pembangunan pendidikan dan sahsiah, beberapa program turut dirancang untuk golongan pelajar termasuk Program Tuisyen MADANI, Program Motivasi Pelajar Unggul: Bebas Buli dan DaRVIH serta Bengkel Teknik Menjawab SPM 2026 bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nenasi.
Sementara itu, sebanyak RM100,000 diperuntukkan kepada SK Nenasi menerusi Program Sekolah Angkat MADANI bagi melaksanakan pelbagai program serta penambahbaikan kemudahan sekolah.
Peruntukan tersebut akan dimanfaatkan bagi menyokong pembangunan akademik, sukan, kokurikulum, sahsiah dan literasi digital, selain menaik taraf Bilik Interaktif Bacalah Sayangku, Bilik Gerakan, Makmal Komputer dan Pusat Sumber Sekolah.
Pelaksanaan program berkenaan mencerminkan peranan JIM yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada fungsi teras imigresen, malah turut mengambil bahagian dalam usaha pembangunan masyarakat melalui pendekatan perkhidmatan awam yang lebih dekat dengan komuniti.
Kerajaan berharap kerjasama berterusan antara agensi, institusi pendidikan, pihak pentadbiran tempatan dan masyarakat dapat memastikan setiap inisiatif dilaksanakan secara berkesan serta memberi manfaat berpanjangan kepada penduduk Kampung Nenasi dan warga sekolah – The Capital Post