Pameran Korporat KKDW Di WTC Raih Sambutan Menggalakkan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 13 September 2026 (The Capital Post) – Pameran Korporat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur melabuhkan tirai hari ini selepas menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai sepanjang penganjurannya.

Pameran tersebut menjadi platform kepada pengunjung untuk mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan perkhidmatan dan inisiatif KKDW serta agensi di bawahnya, selain berpeluang menyertai pelbagai aktiviti kreatif dan interaktif yang disediakan.

Kemunculan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW, YBhg. Dato’ Abdul Kahar bin Abdullah serta Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), YBhg. Datuk Dr. Asyraf Wajdi bin Dusuki turut memeriahkan penganjuran pameran berkenaan.

Kedua-dua tokoh berkenaan turut meluangkan masa menyantuni petugas di reruai KKDW dan beramah mesra bersama pengunjung yang hadir bagi mendapatkan informasi serta mengenali dengan lebih dekat perkhidmatan yang ditawarkan.

-Advertisement-

Penganjuran pameran tersebut turut membuka ruang kepada orang ramai untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pelbagai produk, perkhidmatan dan program yang disediakan KKDW serta agensi-agensinya dalam menyokong pembangunan masyarakat dan kawasan luar bandar.

KKDW merakamkan penghargaan kepada semua pengunjung yang hadir serta memberikan sokongan kepada reruai kementerian sepanjang tempoh penganjuran pameran.

Sambutan yang diterima mencerminkan minat masyarakat terhadap inisiatif dan perkhidmatan yang ditawarkan KKDW, selain membantu memperkukuh hubungan antara kementerian, agensi serta komuniti yang menerima manfaat daripada pelbagai program yang dilaksanakan – The Capital Post