KUALA LIPIS 13 September 2026 (The Capital Post) – Seorang wanita maut selepas kenderaan yang dinaikinya terbabas sebelum mangsa terjatuh ke dalam longkang dalam kejadian di Jalan Lama Bukit Tujuh, semalam.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada kira-kira 9.33 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat.
Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati mangsa berada di dalam longkang berhampiran laluan kenderaan yang terbabas berkenaan.
Anggota penyelamat kemudiannya menjalankan khidmat khas bagi mengeluarkan mangsa dari dasar longkang dengan menggunakan peralatan Junkin Stretcher.
-Advertisement-
Mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pemeriksaan lanjut.
Bagaimanapun, pihak KKM mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan dan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut – The Capital Post