472 PATI Ditahan Dalam Ops Mega

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR 14 September 2026 (The Capital Post) – Seramai 472 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (Ops Mega) yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di sekitar Lebuh Pudu, semalam.

Operasi yang bermula pada jam 11 pagi itu diketuai Pengarah Imigresen Negeri WPKL, YBhg. Datuk Hamsha bin Injau, dengan melibatkan 337 pegawai penguat kuasa terdiri daripada 218 pegawai Imigresen dan 119 pegawai daripada pelbagai agensi.

Antara agensi yang turut terlibat ialah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sepanjang operasi, pemeriksaan dijalankan terhadap kira-kira 2,500 individu sebelum 472 warga asing berusia antara 18 hingga 62 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen. Daripada jumlah itu, 439 merupakan lelaki manakala 33 lagi perempuan.

Warganegara Bangladesh mencatat jumlah tangkapan tertinggi dengan 364 orang lelaki, diikuti Myanmar seramai 57 orang terdiri daripada 49 lelaki dan lapan perempuan. Turut ditahan ialah 18 warga Filipina, lapan warga Nepal, tujuh warga Pakistan, tujuh warga Indonesia, enam warga India, tiga warga China serta masing-masing seorang warga Zimbabwe dan Arab Saudi.

-Advertisement-

Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa, memiliki kad yang tidak diiktiraf serta kesalahan lain di bawah Akta Imigresen.

Kesemua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil bagi menjalani proses siasatan dan tindakan lanjut.

JIM WPKL menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan terhadap warga asing yang melanggar undang-undang, termasuk tindakan terhadap majikan, pemilik premis atau individu yang didapati melindungi dan menggaji PATI.

Dalam masa sama, warga asing dan majikan diseru mengambil peluang menyertai Program Repatriasi Migran (PRM) yang akan berlangsung sehingga 31 Mei 2027 sebelum tindakan penguatkuasaan lebih tegas diambil – The Capital Post