KUALA LUMPUR 25 September 2026 (The Capital Post) – Sebuah kilang kitar semula bersama tiga buah rumah kediaman mengalami kemusnahan kira-kira 80 peratus dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Cheras Baru, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.37 tengah malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah tiba di lokasi kira-kira tiga minit kemudian.
Operasi pemadaman turut mendapat bantuan daripada BBP Ampang, BBP Bandar Tun Hussein Onn dan BBP Hang Tuah serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Kampung Baru Ampang, Kampung Kepong Batu, Serdang, Desa Petaling, Bandar Mahkota Cheras dan Pandan Indah.
-Advertisement-
Menurut JBPM Selangor, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.24 pagi, manakala pemeriksaan lanjut dijalankan di lokasi kejadian. Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran serta jumlah kerugian yang terlibat dalam kejadian berkenaan – The Capital Post