Fadhlina Singgah Masjid Jamek Bahau, Sampaikan Sumbangan Kepada Masjid

Estimate Reading Time: < 1 minute

BAHAU 26 September 2026 (The Capital Post) – Menteri Pendidikan, YB Datuk Seri Fadhlina Sidek semalam singgah di Masjid Jamek Pekan Bahau selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Jempol.

Persinggahan pada 25 September 2026 itu turut menyaksikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan. Fadhlina turut berkesempatan menyapa baginda sebelum meneruskan perjalanan.

Menerusi hantaran di Facebook, Fadhlina berkata beliau seboleh-bolehnya akan mencari ruang untuk singgah ke masjid ketika menjalankan lawatan kerja kerana ia menjadi antara ruang untuk bertemu dan berinteraksi dengan masyarakat setempat.

-Advertisement-

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada Masjid Jamek Pekan Bahau bagi membantu usaha mengimarahkan masjid serta menyokong pelbagai kegiatan bersama komuniti setempat.

Persinggahan tersebut mencerminkan usaha Fadhlina memanfaatkan ruang dalam lawatan kerja untuk mendekati masyarakat dan menyantuni komuniti setempat melalui institusi masjid – The Capital Post