Ceritaku@Sekolah 2026 Hidupkan Pembelajaran

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 6 Oktober 2026 (The Capital Post) – Pendidikan tidak terhad kepada pembelajaran di dalam bilik darjah, sebaliknya pengalaman di lapangan turut memainkan peranan penting dalam menghidupkan ilmu secara lebih mendalam dan praktikal, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, YBhg Dato’ Haslina binti Abdul Hamid.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Ceritaku@Sekolah 2026 yang berlangsung semalam di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1), Putrajaya.

Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia itu merupakan inisiatif bagi memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar menerusi pendekatan yang lebih interaktif dan bersepadu.

Menurut Haslina, program berkenaan memberi penekanan kepada penyebaran ilmu, pembudayaan membaca serta pengukuhan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar.

-Advertisement-

Beliau berkata inisiatif tersebut bukan sahaja membantu menyemai minat membaca dan menyokong pelaksanaan program NILAM, malah turut menyumbang kepada peningkatan kefahaman, keyakinan diri serta kemahiran komunikasi pelajar.

Pada masa sama, pendekatan yang diterapkan menerusi program itu turut menggalakkan pelajar untuk lebih berani mengekspresikan idea dan pemikiran mereka dalam suasana pembelajaran yang lebih terbuka dan interaktif – The Capital Post