KDN Perkukuh Penguatkuasaan dan Libat Urus

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 6 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Dalam Negeri (KDN) meneruskan penglibatan dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas Dewan Rakyat semalam menerusi urusan berkaitan tindakan terhadap sindiket penipuan pelaburan asing TriumphFX serta Majlis Hi-Tea Bersama Friends of Ministry (FOM).

Dalam urusan Kamar Khas, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Melaka, YB Tuan Khoo Poay Tiong berhubung tindakan lebih tegas terhadap sindiket penipuan pelaburan asing TriumphFX.

KDN melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap keseluruhan rantaian sindiket berkenaan, termasuk usaha menjejaki aliran wang serta mengenal pasti pihak yang terlibat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Pada hari yang sama, Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail mempengerusikan Majlis Hi-Tea Bersama Friends of Ministry (FOM) KDN bersama Ahli Parlimen Dewan Rakyat yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Yang Dipertua Dewan Negara, Blok Utama, Parlimen Malaysia.

-Advertisement-

Majlis berkenaan menjadi platform bagi memperkukuh hubungan serta libat urus antara KDN dengan Ahli Parlimen, khususnya dalam perkara berkaitan keselamatan, imigresen, ketenteraman awam dan kedaulatan negara.

Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen, YBhg. Dato’ Zakaria bin Shaaban, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan), YBhg. Datuk Haji Makhzan bin Mahyuddin, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), YBhg. Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Abdul Rahman serta Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBrs. Puan Ainah binti Mohd Soon bersama pegawai pengurusan tertinggi KDN.

Penglibatan kementerian dalam kedua-dua urusan berkenaan mencerminkan usaha berterusan KDN memperkukuh penguatkuasaan dan keselamatan negara, selain memperluas kerjasama strategik bersama Ahli Parlimen demi kepentingan serta kesejahteraan rakyat – The Capital Post