KKM Perkukuh Kapasiti HSAH

Estimate Reading Time: < 1 minute

SUNGAI PETANI 6 Oktober 2026 (The Capital Post) – Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mengadakan lawatan kerja ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) hari ini bagi meninjau kesiapsiagaan serta penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada pesakit dan masyarakat.

Ketibaan beliau disambut Pengarah HSAH, YBrs. Dr. Mithali binti Abdullah @ Jacquline Sapen bersama pengurusan kanan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.

Dalam lawatan berkenaan, Dr. Dzulkefly meninjau sekitar hospital khususnya Jabatan Kecemasan dan Trauma sebelum diberikan taklimat mengenai pengoperasian HSAH, kapasiti semasa serta keperluan penambahbaikan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dapat disampaikan dengan cekap, selamat dan berkualiti.

Antara perkara yang diberi perhatian ialah kerja naik taraf fasiliti melibatkan Red Zone, Green Zone serta kemudahan wad sedia ada bagi meningkatkan aspek keselamatan, kebersihan dan keselesaan pesakit. Perancangan itu turut mengambil kira keperluan meningkatkan kapasiti perkhidmatan serta menangani kesesakan susulan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan.

Dalam perancangan jangka panjang, cadangan pembangunan bangunan tambahan Woman & Child HSAH melibatkan penyediaan 408 katil melalui 15 wad, 34 bilik isolasi yang dilengkapi sistem tekanan negatif serta tujuh dewan bedah. Kemudahan itu turut merangkumi tempat letak kereta bertingkat bagi kegunaan orang awam.

-Advertisement-

Pembangunan berkenaan dijangka dapat meningkatkan kapasiti hospital serta menyediakan persekitaran rawatan yang lebih selamat, selesa dan berkualiti kepada pesakit serta masyarakat di kawasan sekitar.

Sebagai hospital rujukan utama, HSAH menyediakan pelbagai perkhidmatan kepakaran dan subkepakaran kepada penduduk di kawasan liputannya. Berdasarkan maklumat yang dikemukakan KKM, hospital itu kini mempunyai 703 katil rasmi menerusi 24 wad. HSAH turut disenaraikan sebagai hospital peneraju bagi Kluster Kedah Tengah yang merangkumi Hospital Yan dan Hospital Sik.

Usaha memperkukuh kapasiti serta infrastruktur HSAH mencerminkan komitmen Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memastikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selamat dan berpusatkan rakyat terus diperkasakan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI – The Capital Post