KUSKOP Perkukuh Budaya Integriti

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA 7 Oktober 2026 (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee bin Daud, menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Integriti KUSKOP Tahun 2026 yang berlangsung di Auditorium Kompleks E, Putrajaya.

Dalam amanatnya, beliau menegaskan bahawa integriti perlu diterapkan sebagai nilai dalaman dalam melaksanakan setiap amanah dan tanggungjawab, bukan semata-mata kerana wujudnya pemantauan atau pemerhatian pihak lain.

Beliau turut mengetengahkan prinsip “Do the right thing when nobody is watching you” sebagai gambaran bahawa nilai integriti sebenar lahir daripada kejujuran, rasa tanggungjawab dan kesedaran untuk sentiasa melakukan perkara yang benar.

Sambutan itu turut menyaksikan sesi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara KUSKOP dan Institut Integriti Malaysia (IIM) bagi memperkukuh amalan tadbir urus baik, pengurusan risiko serta profesionalisme dalam kalangan warga kementerian dan agensi.

Kerjasama berkenaan diharap dapat memperkasakan penerapan nilai integriti sebagai asas dalam pelaksanaan tugas, selain memastikan aspek tersebut terus menjadi pertimbangan penting dalam setiap tindakan dan keputusan organisasi.

Program turut menampilkan forum bertemakan “Integriti Teras Perkhidmatan Awam MADANI” yang membariskan panel daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

-Advertisement-

Sambutan turut dimeriahkan dengan Pertandingan Pidato Integriti peringkat akhir yang menampilkan lima finalis daripada warga kerja KUSKOP dan agensi, dengan Puan Nurul Ain binti Ahmad Kamarul Zaman dari Pusat Khidmat Kontraktor (HQ) muncul sebagai pemenang.

Tempat kedua disandang Encik Khairool Musaiyar bin Musa dari Bahagian Dasar dan Perhubungan Antarabangsa, manakala Puan Nor Syafiqah binti Khalel dari Bahagian Pembangunan Sumber Manusia memenangi tempat ketiga.

Kemuncak sambutan menyaksikan YBrs. Encik Wan Ahmad Hilman bin Wan Adam, Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil, menerima Anugerah Ikon Integriti KUSKOP Tahun 2026 sebagai pengiktirafan terhadap teladan yang ditunjukkan melalui nilai amanah, disiplin, tanggungjawab dan komitmen terhadap integriti.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIM, YBhg. Datuk Seri Noridah binti Abdul Rahim, bersama pengurusan kanan KUSKOP serta agensi berkaitan.

Sambutan berkenaan mencerminkan komitmen KUSKOP untuk terus memperkukuh budaya integriti sebagai teras perkhidmatan awam serta membentuk warga kerja yang beramanah, profesional dan bertanggungjawab – The Capital Post