PUTRAJAYA 7 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kerajaan terus memperkukuh pembangunan ekosistem syarikat pemula negara menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan KL20 Bil. 1/2026 yang dipengerusikan bersama Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Haji Mohd Nasir dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Chang Lih Kang, semalam.
Mesyuarat berkenaan diadakan bagi menilai kemajuan pelaksanaan Pelan Tindakan KL20 serta memperkukuh penyelarasan pembangunan ekosistem syarikat pemula Malaysia.
Antara perkara yang diberi perhatian termasuk pencapaian inisiatif KL20, hasil penganjuran KL20@Penang dan KL20@Johor, persediaan menghadapi KL20@Kuala Lumpur pada 19 Oktober 2026 serta penjajaran Pelan Tindakan KL20 dengan Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2.0.
Setakat 30 September 2026, sebanyak 5,016 syarikat pemula telah berdaftar, manakala 1,609 syarikat pemula aktif baharu direkodkan sejak pelaksanaan KL20.
Usaha seterusnya akan memberi tumpuan kepada pengukuhan aspek pembiayaan, pembangunan bakat, inovasi, akses pasaran dan pengantarabangsaan bagi meningkatkan daya saing ekosistem startup Malaysia.
-Advertisement-
Pelaksanaan KL20 turut diteruskan menerusi pendekatan whole-of-nation dengan penyelarasan dasar dan intervensi merentas kementerian serta agensi bagi membina ekosistem syarikat pemula dan modal teroka yang lebih kukuh, berdaya saing serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Turut hadir Timbalan Menteri Ekonomi, YB Dato’ Sri Mohd Shahar bin Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, YBhg. Datuk Seri Nor Azmie bin Diron; Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran a/l Kangayatkarasu serta wakil kementerian dan agensi berkaitan.
Mesyuarat tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyelaras pelaksanaan inisiatif KL20 bagi memperkukuh ekosistem syarikat pemula dan modal teroka sebagai antara pemacu pertumbuhan ekonomi negara – The Capital Post