AISM 2025/2026 Raikan Kecemerlangan Industri Sawit

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 7 Oktober 2026 (The Capital Post) – Sebanyak 36 penggiat industri sawit menerima pengiktirafan pada Majlis Anugerah Industri Sawit Malaysia (AISM) 2025/2026 sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan dan sumbangan mereka dalam memacu kemajuan sektor sawit negara.

Majlis anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) itu dirasmikan Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, pada 6 Oktober 2026 bagi meraikan pencapaian penggiat daripada pelbagai segmen industri sawit.

Kesemua penerima menerima pengiktirafan dalam 12 kategori yang merangkumi pelbagai peringkat rantaian industri, termasuk tapak semaian, pekebun kecil, ladang, peniaga buah sawit, kilang, koperasi dan pengeksport.

Penganjuran AISM 2025/2026 turut menjadi wadah untuk mengiktiraf sumbangan setiap lapisan industri dalam memperkukuh prestasi sektor sawit, selain memberi dorongan kepada penggiat industri untuk terus meningkatkan pencapaian serta mempergiat inovasi.

-Advertisement-

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bersama MPOB akan terus memberi sokongan terhadap pembangunan industri menerusi dasar yang kondusif, bantuan teknikal serta pelaksanaan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Usaha berterusan itu bertujuan memastikan industri sawit Malaysia kekal berdaya saing serta terus berkembang sebagai antara sektor penting yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

KPK dan MPOB turut merakamkan penghargaan kepada semua penerima AISM 2025/2026 atas pencapaian serta sumbangan mereka dalam memperkukuh dan memacu kemajuan industri sawit negara – The Capital Post