PUTRAJAYA 7 Oktober 2026 (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, menekankan kepentingan nilai amanah, integriti dan kecekapan tadbir urus dalam memastikan perkhidmatan awam terus berprestasi tinggi serta memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau menyampaikan amanat berkenaan ketika Sesi Santai Ketua Setiausaha Negara dengan warga Perkhidmatan Awam Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur yang berlangsung di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), semalam.
Dalam amanatnya, Tan Sri Shamsul Azri turut memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan yang berteraskan nilai sebagai asas kepada pembentukan penjawat awam yang berintegriti, bertanggungjawab dan berdaya saing.
Pada masa sama, pemanfaatan kemajuan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dilihat penting bagi memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memastikan perkhidmatan awam kekal responsif dan berorientasikan keperluan rakyat.
-Advertisement-
Sehubungan itu, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyatakan komitmen untuk terus mendukung Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) menerusi pengukuhan tatakelola dan keupayaan organisasi.
Usaha tersebut turut memberi tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berimpak supaya setiap agenda pembangunan desa dan wilayah dapat diterjemahkan kepada manfaat yang bermakna kepada rakyat.
Komitmen berkenaan mencerminkan usaha berterusan KKDW untuk memastikan prinsip amanah, integriti dan tanggungjawab terus menjadi asas dalam pelaksanaan perkhidmatan awam demi kepentingan rakyat keseluruhannya – The Capital Post