KPWKM Perkukuh Budaya Sihat dan Agenda Sosial

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 7 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperkukuh komitmen terhadap kesejahteraan warga kerja menerusi penganjuran Majlis Perhimpunan Bulanan yang turut diserikan dengan Sambutan Hari Sukan Negara, Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera serta pelancaran Pelan Strategik KPWKM 2026–2030.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, ketika menyampaikan ucapan perasmian menegaskan bahawa kesihatan fizikal dan mental merupakan aspek yang saling melengkapi dan perlu diberi perhatian secara seimbang.

Menurut beliau, penjagaan kedua-dua aspek tersebut penting bagi memastikan setiap individu berada dalam keadaan terbaik untuk memberikan sumbangan yang optimum kepada organisasi serta masyarakat.

Nancy turut menyeru warga KPWKM supaya membentuk budaya kerja yang penyayang, inklusif dan saling menyokong dengan mengambil berat kebajikan rakan sekerja serta tidak teragak-agak mendapatkan bantuan apabila berdepan keperluan.

Beliau berkata mendapatkan sokongan tidak seharusnya dilihat sebagai kelemahan, sebaliknya mencerminkan keberanian dan kekuatan seseorang dalam menjaga kesejahteraan diri.

-Advertisement-

Dalam majlis sama, Pelan Strategik KPWKM 2026–2030 turut dilancarkan sebagai panduan utama kementerian bagi tempoh lima tahun akan datang. Pelan berkenaan menggariskan hala tuju dan keutamaan KPWKM dalam memperkukuh agenda pembangunan sosial negara agar kekal responsif terhadap perubahan serta keperluan masyarakat.

Pelaksanaan pelan tersebut diharap dapat memperkukuh kualiti penyampaian perkhidmatan KPWKM selaras dengan aspirasi pembangunan sosial yang inklusif dan berdaya tahan.

KPWKM pada masa sama menyeru seluruh warganya untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan memberi perhatian kepada kesihatan fizikal, keseimbangan emosi, ketahanan mental serta hubungan sosial yang positif bagi memastikan organisasi terus kukuh dan cemerlang pada masa hadapan – The Capital Post