KUALA LUMPUR 7 Oktober 2026 (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, menghadiri Sesi Santai Ketua Setiausaha Negara dengan warga Perkhidmatan Awam Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara.
Sesi berkenaan menghimpunkan penjawat awam daripada Kumpulan Pelaksana sebagai platform interaksi secara santai bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Program itu turut memberi ruang kepada penjawat awam untuk menyampaikan pandangan, cadangan serta maklum balas secara konstruktif bagi membantu menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Inisiatif berkenaan dilihat sebagai usaha memperkukuh komunikasi dua hala antara kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam dengan warga kerja, khususnya penjawat awam yang berkhidmat di luar kementerian.
-Advertisement-
Pendekatan tersebut turut memberi peluang kepada kepimpinan perkhidmatan awam untuk mendapatkan pandangan secara langsung daripada warga pelaksana mengenai perkara berkaitan perkhidmatan serta penambahbaikan organisasi.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr. Mohd Bakhari Ismail; Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Dato’ Mohd Shaiful Ibrahim serta pegawai-pegawai kanan perkhidmatan awam.
Sesi santai itu mencerminkan komitmen berterusan untuk memperkukuh hubungan antara kepimpinan dan warga perkhidmatan awam menerusi komunikasi terbuka serta perkongsian pandangan ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan – The Capital Post