NRES Perkukuh RUUPIN Bersama Ahli Parlimen Sarawak

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 7 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengadakan Sesi Libat Urus Isu-Isu Teknikal Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) bersama Ahli-Ahli Parlimen dari Sarawak bagi memperhalusi kerangka perundangan berkaitan perubahan iklim negara.

Sesi yang berlangsung semalam itu menjadi platform untuk meneliti isu-isu teknikal berkaitan RUUPIN secara lebih menyeluruh, selain mendapatkan pandangan dan input daripada Ahli-Ahli Parlimen Sarawak dalam usaha memperkukuh perundangan perubahan iklim negara.

Libat urus tersebut turut memberi ruang kepada pihak berkepentingan meningkatkan kefahaman dan penyelarasan berhubung perkara berkaitan RUUPIN, termasuk memastikan aspek teknikal yang dibangunkan mengambil kira pandangan serta kepentingan pihak-pihak berkaitan.

Usaha berkenaan selari dengan peranan RUUPIN sebagai kerangka perundangan nasional yang merangkumi tindakan mitigasi dan adaptasi perubahan iklim, selain melengkapi dasar, strategi dan pelan tindakan sedia ada berkaitan perubahan iklim negara.

-Advertisement-

Sesi berkenaan dihadiri Timbalan Perdana Menteri II, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup; Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh serta Ketua Setiausaha NRES, YBhg. Datuk Wira Anis Rizana binti Mohd Zainudin.

Turut hadir Ahli-Ahli Parlimen dari Sarawak, pegawai NRES serta wakil kementerian dan agensi berkaitan termasuk Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Ekonomi (KE) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Sesi libat urus itu mencerminkan komitmen NRES untuk memastikan pembangunan kerangka perundangan perubahan iklim negara dilaksanakan secara menyeluruh, tersusun dan mengambil kira kepentingan pihak berkepentingan termasuk Sarawak – The Capital Post