Sultan Nazrin Rasmi IPD Muallim, Perkukuh Keupayaan Kepolisan

Estimate Reading Time: < 1 minute

TANJONG MALIM 7 Oktober 2026 (The Capital Post) – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim dalam satu majlis yang berlangsung di Tanjong Malim, Perak, semalam.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), YDH CP Dato’ Sri Noor Hisam bin Nordin, selain menyaksikan keberangkatan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah bersama Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya.

Perasmian IPD Muallim mencerminkan usaha berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkukuh prasarana keselamatan serta meningkatkan keupayaan operasi dan penyampaian perkhidmatan kepolisan, khususnya bagi memenuhi keperluan keselamatan masyarakat di daerah Muallim yang semakin berkembang.

Kompleks baharu berkenaan berfungsi sebagai hab pentadbiran dan operasi yang dilengkapi teknologi terkini, sistem komunikasi yang efisien serta kemudahan sokongan bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan keberkesanan penugasan anggota PDRM.

IPD Muallim dibangunkan di atas tapak seluas 11.34 hektar dengan peruntukan RM85 juta. Pembinaannya bermula pada 27 Disember 2017 dan siap sepenuhnya pada 30 Jun 2025 sebelum penyerahan projek pada Oktober tahun sama.

-Advertisement-

Pada majlis tersebut, Sultan Nazrin turut berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama sebelum menyempurnakan lafaz dan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian kompleks berkenaan.

Turut hadir Ketua Polis Negara, YDH IG Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail bersama barisan Pengarah PDRM serta pegawai kanan berkaitan.

Perasmian IPD Muallim menjadi satu lagi langkah dalam memperkukuh kemudahan keselamatan dan keupayaan kepolisan bagi memastikan perkhidmatan kepada masyarakat di daerah berkenaan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan – The Capital Post