KUALA LUMPUR 7 Oktober 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menyeru umat Islam supaya menjadikan penghayatan terhadap al-Quran sebagai asas dalam membangunkan generasi berilmu, berakhlak dan mampu menghadapi perubahan zaman, termasuk menguasai bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI).
Anwar berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas menghadiri Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-66 Tahun 1448 Hijri/2026 Masihi di Kuala Lumpur malam tadi. Majlis berkenaan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) pada 6 Oktober 2026.
Beliau turut merakamkan penghargaan bagi pihak Kerajaan Malaysia kepada seluruh hakim dan peserta dari pelbagai negara yang menjayakan majlis berkenaan.
Dalam kenyataannya, Anwar mengimbau persoalan yang dikemukakan ulama Sambas, Syeikh Muhammad Basyuni Imran kepada Sayyid Muhammad Rashid Rida pada 1929 mengenai sebab umat Islam ketinggalan berbanding umat lain yang kemudiannya dijawab oleh Amir Shakib Arsalan menerusi karya yang diterbitkan pada 1930.
Menurut Anwar, persoalan tersebut masih relevan sehingga hari ini, khususnya dalam melihat keperluan umat Islam memperbaharui penguasaan ilmu, memperkukuh akhlak serta membina keberanian dan kesungguhan dalam menghadapi cabaran semasa.
Beliau berkata usaha islah tidak seharusnya terhenti pada kehadiran dalam majlis berkaitan al-Quran, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui penghayatan terhadap hikmah al-Quran serta kesediaan menguasai ilmu baharu, termasuk AI, dengan tetap berpaksikan akidah dan akhlak.
-Advertisement-
Anwar turut menyifatkan generasi al-Quran yang ingin dilahirkan sebagai generasi yang hatinya dekat dengan Allah, tekun menuntut ilmu serta membawa nilai rahmah dalam dakwah dan kehidupan.
Menurut beliau, generasi tersebut juga perlu berakar pada khazanah turath Islam serta meneladani kebijaksanaan dan adab para ulama dan ilmuwan, di samping berupaya menterjemahkan petunjuk al-Quran bagi menjawab persoalan kehidupan dan memajukan umat.
Beliau turut mengetengahkan firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 159, yang menekankan nilai rahmah, kelembutan, sikap memaafkan, memohon keampunan serta bermesyuarat dalam menguruskan sesuatu urusan.
Anwar berkata penghayatan terhadap nilai tersebut penting dalam membentuk masyarakat yang berilmu, berakhlak dan mampu membawa kebaikan serta rahmat kepada seluruh kehidupan – The Capital Post