NADI Sungai Labu Perkenal AI dan Kejuruteraan Prompt

Estimate Reading Time: < 1 minute

LABUAN, 8 Oktober 2026 (The Capital Post) – Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Sungai Labu terus memperluas pendedahan komuniti terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi program 1 NADI 1 Prompt Engineer.

Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil, meninjau pusat tersebut di Wilayah Persekutuan Labuan bagi melihat pelaksanaan program dan inisiatif yang disediakan kepada masyarakat setempat.

Antara pengisian utama yang diketengahkan ialah Showcase Program 1 NADI 1 Prompt Engineer, yang memberi pendedahan kepada komuniti mengenai penggunaan AI dan kejuruteraan prompt.

Program itu bertujuan membantu peserta memahami bagaimana teknologi berkenaan boleh dimanfaatkan dalam pembelajaran, pekerjaan dan perniagaan, selain meningkatkan produktiviti dalam kehidupan seharian.

-Advertisement-

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah serta Ketua Pegawai Sektor Hal Ehwal Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Haji Bukhari Yahya.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Komunikasi, inisiatif berkenaan memberi peluang kepada komuniti untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran digital melalui pendedahan kepada penggunaan teknologi AI secara praktikal – The Capital Post