KKR Perkasa Budaya Inovasi Demi Tingkatkan Mutu Perkhidmatan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 9 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kerja Raya (KKR) terus memperkukuh budaya inovasi dalam organisasi menerusi penganjuran Hari Inovasi KKR dan Agensi Tahun 2026 yang menghimpunkan warga kementerian, tetamu jemputan serta ketua bahagian dan agensi bagi menggalakkan kreativiti dan penerapan idea baharu dalam penyampaian perkhidmatan.

Program yang berlangsung pada 8 Oktober itu dimulakan dengan ceramah inovasi sebelum dihadiri barisan pengurusan tertinggi KKR, termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datuk Zainal Alhakab Seman; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pengurusan), Datuk Dr. Khairus Masnan Abdul Khalid; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan; serta Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi.

Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Nanta, diikuti persembahan multimedia dan koir yang memeriahkan acara berkenaan.

Antara pengisian utama program ialah penyampaian Anugerah Inovasi Peringkat Kementerian, Jabatan dan Agensi serta Anugerah Khas Menteri Kerja Raya sebagai pengiktirafan terhadap usaha dan pencapaian inovasi dalam kalangan warga KKR serta agensi di bawahnya.

-Advertisement-

Para tetamu turut berpeluang mengunjungi reruai pameran inovasi bagi melihat hasil kreativiti, idea dan inisiatif yang dibangunkan oleh warga kementerian serta agensi.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen KKR untuk terus memupuk budaya inovasi yang bukan sahaja menghasilkan pembaharuan, malah memberikan nilai tambah kepada organisasi dan meningkatkan mutu perkhidmatan demi kepentingan rakyat – The Capital Post