Kerajaan Perkukuh Pengurusan Rekod Digital

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM 9 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kerajaan terus memperkukuh pengurusan rekod sektor awam sebagai asas kepada integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang berkesan menerusi Konvensyen Pengurusan Rekod Sektor Awam 2026 yang dirasmikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, pada 8 Oktober lalu.

Pengurusan rekod yang sistematik penting bagi memastikan setiap keputusan dan perbelanjaan kerajaan mempunyai dokumentasi yang sahih, boleh dijejaki serta dipertanggungjawabkan.

Sehingga September 2026, sebanyak 18.1 juta rekod telah didaftarkan menerusi Sistem Pengurusan Dokumen Digital (DDMS) 2.0, melibatkan 463 agensi kerajaan.

Selaras dengan agenda pendigitalan sektor awam, pembangunan DDMS 3.0 secara dalaman serta peluasan pelaksanaan audit khas pengurusan rekod akan diteruskan bagi memperkukuh ekosistem rekod digital kerajaan.

-Advertisement-

Arkib Negara Malaysia turut memainkan peranan penting dalam memastikan rekod kerajaan dipelihara sebagai bukti pentadbiran, sumber rujukan dan khazanah negara untuk generasi akan datang.

Dalam konvensyen tersebut, RISDA dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menerima Anugerah Khas dan Anugerah Arkib Perdana 2026 sebagai pengiktirafan berkaitan pengurusan rekod. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Usaha memperkukuh pengurusan rekod ini diharap dapat meningkatkan ketelusan pentadbiran, memperkemas penyampaian perkhidmatan awam serta memastikan warisan dokumentasi negara terus terpelihara – The Capital Post